BEIJING – Seorang wanita tempatan yang kecewa parti hari lahirnya langsung tidak disambut sesiapa termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan, bertindak cuba membunuh dirinya sendiri, lapor akhbar-akhbar China pada Khamis.
Kejadian ‘menyayat hati’ itu dilaporkan berlaku di bandar raya Dongguan, wilayah Guangdong, yang lebih dikenali sebagai hab pelancongan seks terbesar di China dan bersempadan pulau bekas jajahan British, Hong Kong.
Mangsa dipercayai menunggu kehadiran anggota keluarga, saudara mara dan sahabat handai untuk menyambut majlis hari jadinya yang ke-20 tahun di rumahnya di tingkat 19 sebuah apartmen di bandar berpenduduk lebih 8 juta orang itu.
Malangnya, setelah menunggu seharian pada Selasa, tiada seorang pun datang apatah lagi mengirim ucapan selamat hari lahir menerusi laman maya sekali gus menyebabkan wanita bernama Jin itu amat kecewa bukan kepalang.
Dia seterusnya bertindak nekad memanjat pagar apartmen sebelum duduk termenung di beranda sempit tembok dan kemudian mengancam akan melompat terjun ke tanah sebaik perbuatannya itu disedari beberapa penghuni lain.
Walaupun penduduk apartmen cuba memujuk termasuk mengucapkan selamat hari lahir bagi mengambil hati Jin, wanita tersebut sebaliknya ‘menjual mahal’ dan mengugut akan membunuh diri kerana berasa dirinya tiada lagi nilai.
Menyedari keadaan akan menjadi lebih buruk, penghuni apartmen yang semakin berputus asa menghubungi pihak polis bagi memujuk Jin dan menawarkan makanan serta minuman bagi menenangkan fikiran kusut wanita itu.
Selepas empat jam memujuk termasuk mengumpan pelbagai jenis makanan lazat, Jin yang keletihan ‘berdrama’ akhirnya mengalah dan dibantu anggota polis untuk memanjat tembok beranda kediaman tersebut untuk kembali ke rumahnya.
Setelah diselamatkan, Jin menceritakan kepada pihak polis bahawa dia sedih keluarganya tidak datang menyambut hari lahirnya, namun, tidak pula dipastikan sama ada dia ada menjemput mereka ke rumahnya bagi meraikan majlis itu. – Agensi
Post a Comment