Malaysia Siap Sedia Hadapi Fenomena Puting Beliung
PUTRAJAYA – Malaysia yang selama ini tidak pernah mengalami fenomena puting beliung, kini bersiap sedia menghadapinya.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail berkata negara mengalami lapan kejadian puting beliung tahun lalu, masing-masing empat di darat dan empat di laut yang juga dikenali sebagai ‘belalai air’.
Beliau berkata fenomena puting beliung, ribut petir kuat, taufan dan angin kencang merupakan kesan daripada perubahan iklim serta pemanasan global.
“Sebelum ini puting beliung amat jarang berlaku di negara kita. Tetapi tahun lalu ia berlaku. Kemungkinan ia akan berulang atau sebaliknya tidak boleh diramalkan kerana Malaysia masih belum mempunyai kepakaran meramalkannya,” katanya kepada Bernamasempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2015 esok.
Sehubungan itu Che Gayah berkata MetMalaysia sedang berusaha membawa pakar dari Jepun untuk melatih lebih ramai pegawai cuaca tempatan mengenai kaedah terbaik untuk membuat ramalan tentang puting beliung.
“MetMalaysia juga kemungkinan akan menghantar pegawai ke Amerika Syarikat yang mempunyai ramai pakar, pengalaman serta peralatan canggih berkaitan puting beliung,” jelasnya.
Sambutan Hari Meteorologi Sedunia disambut setiap 23 Mac yang kali ini bertemakan ‘Iklim: Pengetahuan Untuk Tindakan’.
Beliau berkata tema itu membolehkan negara anggota Pertubuhan Metereologi Sedunia merangka pelan tindakan dan mitigasi untuk menghadapi perubahan iklim.
Che Gayah berkata sempena hari sambutan, MetMalaysia akan melancarkan “myCuaca” iaitu aplikasi telefon pintar yang menyediakan ramalan dan amaran cuaca harian, gempa bumi dan tsunami serta imej terkini bagi satelit dan radar.
Beliau berkata aplikasi tersebut boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apps Storesecara percuma.
Pelancaran aplikasi itu merupakan anjakan MetMalaysia yang antara lain bertujuan meningkatkan kemudahan, kecekapan dan ketelusan sistem penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada rakyat melalui penggunaan teknologi aplikasi mudah alih, katanya.
- BERNAMA
Post a Comment